A Darwisy kongsi bagaimana minat menulis sejak zaman sekolah buatkan novel seramnya dijadikan filem

Anis | 18-03-2019


Minat yang mendalam terhadap bidang penulisan mendorong Anuar Darwisy berjinak-jinak dalam dunia sastera ini sejak bangku sekolah lagi.

Cerita Anuar atau nama penanya A Darwisy, ketika berada di sekolah rendah, dia sering menghantar puisi dan cerpen untuk majalah sekolah.

Minatnya itu diteruskan ketika memasuki sekolah menengah, apabila Anuar lebih aktif berkarya dan menghantar cerpen untuk disiarkan di majalah termasuk terbitan Karangkraf seperti majalah Remaja.

"Apabila sudah bekerja, minat menulis itu dicurahkan di dalam blog peribadi dan dari situ terhasil beberapa novel bersiri untuk tatapan pembaca secara percuma.

"Sehinggalah pada 2012, saya mencuba nasib untuk meletakkan karya di Portal Ilham (dulu Ilham Karangkraf) dan pada 2013, karya saya dilamar oleh penerbit Buku Prima untuk diterbitkan dalam bentuk buku," katanya kepada Sinar Harian.

Bersama peminat.

Tambah anak kelahiran Kuala Lumpur ini, pada awalnya, dia cenderung menghasilkan novel genre cinta, namun saranan seseorang membawanya menghasilkan novel genre seram dan mistik.

"Saya gemar menonton filem seram dan membaca novel seram. Tetapi awalnya, tidak tergerak hati hendak menulis dalam genre seram.

"Apatah lagi saya lebih suka menghasilkan novel cinta tetapi selepas memenuhi permintaan Pengurus Penerbitan Grup Buku Karangkraf, Mohd Ali, alhamdulillah cubaan menulis dalam genre ini mendapat sambutan yang menggalakkan," katanya.

Katanya, mungkin juga sudah tertulis rezeki dalam genre itu.

Antara novel yang pernah dihasilkan Anuar bersama Grup Buku Karangkraf adalah 'Pudina Cinta' (2013), 'Antologi Hujan Turun Lagi' (2013), 'Biar Mereka Cemburu' (2014), yang merupakan novel cinta.

Manakala novel seram terdiri daripada 'Kala Senja Dia Datang' (2014), 'Antologi Jiwa Kacau': 'Gaun Berdarah' (2014), 'Jangan Biar Dia Masuk' (2015), 'Projek Seram Lombong' (2016), 'Jangan Biar Dia Masuk 2' (2016), 'Kisah Seram Malam Jumaat' Vol. 1 (2017), 'Amukan Jembalang Tanah' (2017), 'Projek Seram Terowong' (2017) dan terbaharu, 'Ngauman Cindaku'.

Anuar berkata, kebanyakan idea karyanya adalah berdasarkan cerita orang lama, kisah yang berlaku di kampung dan kawasan pedalaman.

"Saya mendengar pengalaman mereka, menemubual masyarakatsetempat juga membaca bahan bacaan yang merangkumi pelbagai disiplin ilmu supaya dapat dijadikan nilai tambah dalam manuskrip yang dihasilkan.

"Malah saya juga tidak terkecuali melalui pengalaman mistik. Gangguan seperti mendengar bunyi aneh, melihat bayangan tertentu dan seumpamanya adalah asam garam seorang penulis seram," katanya.

Cover novel baharu dan filem adaptasi.

Nasihatnya kepada penulis yang mengalami gangguan  mistik itu, sebaiknya, janganlah terlalu larut ketika berkarya. Semat dalam hati, ALLAH SWT lebih berkuasa.

Anuar  pernah dianugerahkan Penulis Harapan Pilihan di Anugerah Grup Buku Karangkraf 2013 dan Penulis Versatil di Majlis Ulang Tahun Buku Prima Ke-10 2015.

Ditanya harapannya dalam bidang ini, Anuar berkata, dia berharap novel karyanya akan dialih bahasa ke bahasa Inggeris untuk pasaran antarabangsa.

"Saya juga menyimpan impian novel saya menerobos pasaran negara jiran. Bukan itu sahaja selain filem, saya impikan karya saya diangkat ke teater (mungkin di Istana Budaya) kerana belum pernah lagi naskhah seram dipersembahkan di platform gah begitu," katanya.

ADAPTASI PERTAMA

Dalam pada itu, Anuar memberitahu novel seram solo pertamanya berjudul 'Jangan Biar Dia Masuk' terpilih untuk diadaptasikan ke layar perak.

Tidak hanya terpilih untuk diadaptasi, ujar Anuar dia juga terlibat secara langsung pada peringkat pra produksi filem berkenaan.

"Novel ini adalah novel seram terlaris Buku Prima sejak 2015 lagi," katanya.

 

Kredit : 12 September 2018  |  AQMAR MUSTAZA

Sumber : https://www.gpsbestari.com/artikel/inilah-kisahku/a-darwisy-kongsi-bagaimana-minat-menulis-sejak-zaman-sekolah-buatkan-novel-seramnya-jadikan-filem-1.878762

KALENDAR BUKU PRIMA