BAHAGIA TANPA CAHAYA MATA




Sememangnya sedih bagi pasangan yang lama berkahwin tetapi tidak juga dikurniakan cahaya mata. Penantian terasa amat menyeksakan. Bukan tidak redha dengan ujian TUHAN, tetapi begitulah hati insan. Belum lagi bisa mulut orang sekeliling bercakap itu ini. Pedih sekali dirasakan di dalam jiwa.

Contohnya, apabila balik kampung berhari raya atau bertemu sahabat yang sudah lama tidak berjumpa. Pertanyaan yang biasa dilontarkan, “Hai, takkan berdua saja, bila lagi nak menimang cahaya mata?” “Engkau ni tak pandai ‘buat anak’ kot, ke isteri kamu mandul?” Malah macam-macam suara sumbang lagi. Tahan sajalah telinga mendengarnya.

Seorang suami bercerita, “Saya masih mampu bertahan dan yang saya kasihan adalah isteri saya. Teringat doktor pernah nasihat, katanya orang perempuan apabila tertekan, kesuburannya semakin berkurang. Sedangkan isteri saya mengikut doktor, dia kurang subur. Saya takut perasaannya tertekan dan kesuburannya terjejas. Saya cuba menenangkannya. Kalau saya lihat dia murung, saya bacakan Surah asy-Syura, ayat 49 sampai 50. Ayat inilah yang menjadi penenang kemurungan hati kami berdua. Entah orang yang mulut celopar itu fikir lelaki boleh buat anak. Kata jahil nanti marah pula,” ceritanya lagi.  

Kisahnya belum tamat. Tidak berhenti mereka berdua berikhtiar. Berjumpa doktor sudah, berdoa sudah dan makan ubat pun sudah. Cuma satu yang suami enggan iaitu berjumpa bomoh. Kalau layan bomoh dalam fikirannya, memang tidak berhentilah berubat ke sana ke mari. Orang Selangor kata Pahang ada bomoh handal, dia pergi. Orang Pahang dengar di Selangor ada pula, dia datang. Itulah mengenai bomoh. Selain itu, mereka juga turut mencuba perubatan Islam, namun itu pun belum berhasil. Ya, sungguh... bukan ustaz atau pengamal perubatan Islam itu yang berkuasa menentukan. Tetapi ALLAH SWT belum berkenan mengabulkannya.

Ada pula kisah isteri yang hamil setelah lebih 10 tahun berkahwin. Kandungan baru berusia empat bulan, semua kelengkapan bayi sudah lengkap disediakan. Yang mahal-mahal dan berjenama pula. Maklumlah, teruja sangat mahu menyambut kehadiran bayi sulung. Masuk bulan ketujuh, dugaan datang. Malam kejadian, pasangan ini membuat temu janji biasa dengan doktor. Semasa doktor memeriksa rahim isteri dengan alat ultrasound, tiba-tiba wajah doktor berubah. Doktor memberitahu bayi dalam kandungan tidak menunjukkan sebarang tidak balas atau pergerakan. Suami sudah syak ada sesuatu yang tidak kena. Doktor menyiapkan satu surat dan meminta pasangan ini pagi keesokan harinya segera ke hospital kerajaan. Perlu buat pemerikasaan lanjut, tegasnya!

Esoknya selesai pemeriksaan, doktor yang merawat memanggil suami. Doktor menerangkan sambil menenangkan, lalu menegaskan bayi dalam kandungan telah meninggal dunia dan tidak dapat diselamatkan. Disyaki lemas dalam rahim, menurutnya. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Sebak di dada berlinanglah air mata kedua-duanya.

Ya, kita adalah hamba dan DIA adalah Pencipta. Maka DIA menentukan segala sesuatu menurut timbangan yang dikehendaki menurut hikmah-NYA. Orang cacat diciptakan ada hikmahnya, orang miskin begitu dan orang yang diuji dengan tiada zuriat jua begitu. Siapa yang mengenal ALLAH SWT, pasti dia tidak akan berburuk sangka terhadap-NYA.

Seorang mukmin yang hakiki memandang apa yang terjadi dengan pandangan penuh hakikat. Bukan dia seorang sahaja yang diuji di dunia ini, masih banyak di luar sana. Lihat Nabi Muhammad SAW, semua anak lelaki baginda meninggal dunia. Saat Ibrahim meninggal, air mata baginda mengalir, namun untuk keluar perkataan yang tidak enak di dengar, tidak pernah sama sekali.

Jadi, apakah yang perlu dilakukan oleh golongan yang beriman? Teruskan berdoa dengan penuh pengharapan tulus ikhlas. Berdoa itu tanda kelemahan insan. Salah satu tanda termakbulnya doa seorang mukmin adalah kita berasa tenteram dengan takdir ILAHI walau apa pun keputusannya. Sesungguhnya, keimanan kepada ALLAH SWT menghilangkan keresahan jiwa.  

Pasangan yang berkahwin tetapi tidak memiliki cahaya mata, boleh meneruskan perkahwinan tersebut sekiranya mereka saling menerima dengan redha keadaan tersebut. Yang memiliki cahaya mata mampu hidup bahagia dan yang tidak memiliki pun boleh bahagia juga. Ada yang mengambil anak angkat dan ada yang kekal hidup berdua. Ada yang menampung kos persekolahan anak-anak saudara masing-masing sambil menabur bakti. Ada yang giat menuntut ilmu dan ada yang membuat kerja-kerja amal serta dakwah. Ada yang umpama pasangan merpati dua sejoli, ke sana ke mari hanya berdua. Insya-ALLAH, semua penderitaan yang dialami akan menjadi saksi yang bermanfaat kepada keduanya di akhirat kelak.

KALENDAR BUKU PRIMA