KENAPA MATA MANUSIA BERBEZA-BEZA WARNA?

@wien | 11-07-2019


Mata merupakan organ unik yang berfungsi untuk mengesan rangsangan cahaya dan mempunyai bahagian otot paling aktif. Tahukah anda, anda boleh berkedip lima kali dalam satu saat?

Bukan itu sahaja, mata juga mempunyai pelbagai warna yang terbentuk daripada pigmentasi iris dan tindakbalas iris terhadap cahaya yang menembusinya. Berikut merupakan warna mata mengikut peratusan populasi di dunia;

Coklat

79% manusia mempunyai mata berwarna coklat. Warna tersebut terhasil daripada kandungan melanin yang tinggi di dalam iris, membuatkan mata berwarna coklat gelap atau coklat muda.

Warna mata ini sering terdapat dalam komuniti di Asia Timur, Asia Tenggara dan Afrika.

Ibu bapa bermata coklat belum tentu menghasilkan anak berwarna mata sama kerana variasi gen yang berbeza.

 

Biru

8 hingga 10% populasi dunia mempunyai mata berwarna biru yang terjadi disebabkan kandungan melanin yang rendah di lapisan hadapan iris. Dalam satu kajian oleh penganalisis dari Universiti Copenhagen, warna mata ini disebabkan satu mutasi genetik yang berlaku 10,000 tahun lalu.

Mutasi tersebut menghalang penghasilan melanin di dalam mata yang sepatutnya berlaku secara genetik. Populasi yang mempunyai warna mata ini kebanyakannya berasal di Eropah di mana Finland menjadi negara teramai rakyat bermata biru (89%).

 

Hazel

Warna hazel berlaku dari percampuran melanin dan penyebaran elastik cahaya dari zarah yang diameternya kurang daripada kira-kira 1/10 panjang gelombang (wavelength) cahaya. Hanya 5% populasi dunia mempunyai mata berwarna hazel.

 

Amber

Seperti pemilik mata hazel, 5% penduduk dunia memiliki warna mata amber. Warna ini terbentuk dengan kewujudan pigmen kuning bernama lipochrome yang membuatkan iris kelihatan berwarna tembaga dan keemas-emasan, membuatkan warna ini sukar dibezakan dengan warna hazel.

Jarang dijumpai dalam kalangan manusia, warna mata ini sering dilihat pada burung, ikan dan anjing.

 

 

Hijau

Warna mata ini cukup unik dengan hanya 2% populasi dunia bermata hijau. Warna ini terhasil daripada kandungan melanin yang rendah, kewujudan pigmen kuning lipochrome dan warna biru. Warna mata ini sering dimiliki di Barat, Utara dan negara di pusat Eropah.

Kelabu

Seperti mata biru, warna ini disebabkan kekurangan melanin di lapisan hadapan iris. Warna kelabu terjadi disebabkan penyebaran elastik cahaya dari zarah yang diameternya lebih besar dari panjang gelombang (wavelength) cahaya. Warna mata ini sering dijumpai dalam kalangan penduduk di Utara dan Timur Eropah.

 

Merah/Violet

Mereka yang mengalami albinisme sering mempunyai warna mata berwarna ungu atau merah. Hal ini disebabkan tahap melanin yang sangat rendah, menyebabkan salur darah dapat dilihat.

 

Heterochromia

Heterochromia merupakan fenomena yang jarang berlaku di mana seorang individu mempunyai dua warna mata berbeza. Ia boleh terjadi sejak lahir disebabkan genetik ataupun kerana kecederaan dan penggunaan ubat-ubatan.

Walau bagaimanapun, heterochromia yang disebabkan kecederaan dan reaksi ubat jarang berlaku berbanding faktor genetik.

Antara masalah genetik yang menyebabkan heterochromia berlaku ialah sindrom Bloch-Sulzberger, sindrom Horner’s dan sindrom Parry-Romberg.

 

Kredit artikel: Siakap Keli