GRAB

Mazuen | 04-03-2019


Grab adalah servis e-hailing yang dicipta oleh anak Malaysia sendiri. Grab memudahkan kita untuk menempah servis hanya dengan menerusi smartphone (telefon pintar).

Jadi, permintaan (demand) untuk servis ini semakin meningkat dari hari ke hari. Namun, banyak kisah yang terjadi melibatkan Grab. Antaranya, pemandu Grab sering diganggu dengan makhluk selain manusia. Dulu, kita selalu mendengar pemandu teksi diganggu oleh penumpang misteri. Kini, pemandu Grab juga tidak terkecuali.

Ikuti cebisan kisah pemandu Grab/Uber sewaktu berhadapan dengan penumpang-penumpang yang tidak diundang di bawah:

 

DUIT JADI DAUN

Kisah ini diceritakan oleh Farah, isteri kepada pemandu Grab. Menurut wanita tersebut, suaminya mengambil penumpang berkenaan berhampiran Pasar Gunung Rapat menuju ke Jalan Hoover di Ipoh, Perak.

"Masa dia ambil penumpang tu kira-kira pukul 7.00 malam, hampir waktu maghrib. Kebetulan kawasan itu berdekatan dengan rumah kami dan itu trip terakhir, jadi dia terima permintaan penumpang itu.

"Dia turunkan penumpang itu dalam pukul 7.10 malam. Wanita itu memang bagi duit tambang RM8 dalam bentuk RM1 sebanyak lapan keping dan suami pun masukkan wang itu ke dalam dompet.

"Namun sudah jadi amalan suaminya, dia akan periksa dompet selepas hantar penumpang sebab dia akan pindahkan duit tersebut ke dalam 'pouch'. Bila buka saja dompet, tengok ada daun," kata Farah.

Terkejut dengan kejadian itu, suami Farah yang hanya ingin dikenali sebagai Zed terus memaklumkan mengenai perkara itu kepadanya.

"Suami mesej saya dekat WhatsApp mengenai daun tu. Saya tak fikir langsung benda pelik-pelik. Ingatkan suami nak buat lawak sebab dia memang suka bergurau.

"Sampai saja di rumah, bila dia buka cerita tu saya terkedu seketika. Biasalah mesti fikir hantu dulu. Suami pun pelik sebab daun kering dalam dompet dia tu ada lapan helai.

"Suami pun terus buang daun tu sebab macam bahaya nak bawa balik benda dia sendiri tak tahu apa. Lagipun kami ada anak kecil," katanya.

Farah berkata suaminya memaklumkan wanita itu turut berkelakuan aneh semasa di dalam kereta.

"Suami pun macam tak sedap hati sebab dia kata gaya perempuan tu pun pelik. Dia kata wanita tu suka gelak. Sikit-sikit gelak. Bila langgar lubang pun gelak.

"Daripada gaya percakapan wanita itu orang Indonesia. Tapi sampai sekarang kami masih lagi tertanya-tanya sama ada dia adalah manusia atau sebaliknya," katanya.

Insiden pertama dulu masa suami buat Uber tahun lepas. Pelanggan umur macam nenek-neneklah. Suami tak syak apa-apa. Pandu kereta macam biasa, memang kena lalu kawasan kubur. Tapi bila sampai di situ, peliknya GPS suruh pusing kiri masuk ke kawasan kubur tu.

"Suami tak ikut GPS tu. Dia tanya nenek tu “terus lagi ya?” Nenek tu cakap, “ya terus lagi”. Tapi destinasi tu memang depan sikit dari kubur, tanah lapang. Bila suami pusing belakang nak beritahu nenek tu dah sampai, tengok tak ada orang. Bunyi pintu buka pun tak ada.

"Tapi trip yang tu suami tak rugilah sebab nenek tu guna kod promosi Uber. Nak kata malam sangat pun tak, tapi insiden berlaku sekitar puku 10.30 malam. Esoknya suami berhenti bawa Uber sehari, kemudian sambung balik macam biasa," katanya.

Bagaimanapun ibu kepada seorang anak itu berkata, suaminya turut pernah bertembung dengan seorang penunggang motosikal tanpa muka semasa balik bertemu klien untuk urusan jualan beli kenderaan.

"Insiden ini paling menakutkan. Berlaku pada tahun lepas juga, kira-kira pukul 11.00 malam sewaktu suami balik jumpa klien. Dia berhenti dekat satu simpang, ada sebuah motosikal pun berhenti.

"Dia tengok muka suami saya... suami pun tengoklah balik, 'orang' tu tak ada muka. Demam jugalah dia.

"Nasiblah rumah ibu mertua dekat. Jadi, suami balik mandi kat rumah mak dia dulu sebab kami ada anak kecil. Bimbang benda tu ikut dia balik," katanya.


Sumber: www.mstar.com.my/lokal/semasa/2018/11/11

 

PENUMPANG KUBUR CINA

Suatu hari dalam pukul 12.00 malam macam tu, pemandu Uber ni berada di Tanjung Bungah.

 

Tiba-tiba dia dapat mesej ada customer nak Uber. Alang-alang nak balik rumah, dia terimalah permintaan penumpang tu. Dia pun tak fikir apa-apa masa tu. Bukan benda pelik pun orang request uber tengah malam.

 

Tanpa fikir banyak, dia pun ikut direction maps. Tapi bila sampai kat lokasi nak pickup customer tu kat kubur Cina. Namun, dia masih berbaik sangka. Mungkin customer dia baru habis siram kubur famili. Dia rasa memang tak salah tempat sebab di maps mention, ‘We are arrived.’ Bermaksud dah sampai di tempat sepatutnya dia pickup customer. Masa tu, mula rasa cuak bila dia tengok sekeliling gelap-gelita dan tidak ada sesiapa muncul atau tunggu Uber.

 

Jadi untuk kepastian, dia cuba call customer untuk pengesahan lokasi. Tiba-tiba aplikasi Uber offline. Mujur dia ni jenis orang yang relaks. So dia tunggu lagi lima minit. Mungkin customer tu baru habis cabut rumput atau bakar colok kat kubur.

 

Dalam sabar menanti tu, keimanan seorang pemandu Uber yang kononnya cool mula tercabar. Muncul bau wangi menusuk ke lubang hidung. Tiba-tiba dia rasa macam ada ‘sesuatu’ dalam kereta.

 

Nak abaikan rasa yang tak best tu, dia saja-saja membebel, “Siapa nak bayar trip aku kat sini ni, wei?” Lepas tu, dia tekan start balik trip tu dalam pada masa yang sama aplikasi Uber tu kata dia dah sampai dekat tempat customer nak pergi.

 

Terus keluar mesej, ‘Drop Off.’Selalunya  setiap kali penumpang berjaya di hantar ke lokasi yang mereka nak pergi memang akan keluar mesej ‘Drop Off' membawa maksud dah sampai.

 

Dia mula rasa pening. Bayangkan, customer tak bagi detail tempat dia nak pergi, tapi maps boleh proceed tempat dia nak pergi. Yang buat dia semakin pelik dekat maps katanya keluar alamat dia nak pergi tu unknown. Bila dia periksa balik jarak antara lokasi pickup dengan lokasi dia nak pergi tu cuma 0.01km!

 

Dia mula rasa tak sedap hati, jadi dia bawa kereta keluar dari jalan tu sebab makin lama dia layan makin merapu dan pelik jadinya. Lebih kurang 5km dia memandu, dia jumpa stesen minyak. Dia singgah untuk ke tandas bagi menghilangkan apa yang patut dalam kereta. Tapi, bila dia masuk balik dalam kereta, bau wangi masih ada.

 

Sebab masih tak hilang bau wangi tu, dia bersuaralah sikit, “Aku nak balik dah ni, hang turun jangan duk ikut aku. Aku nak balik.”Selepas itu, dia baca ayat kursi. Lepas lima minit, bau wangi tu pun hilang.

 

Itulah pengalaman paling ‘teruk' sepanjang dia menjadi pemandu Uber.

Moral of the story.. Hantu zaman sekarang pun dah tak layan sangat teksi. Dulu, kita selalu dengar cerita pemandu teksi kena sakat. Sekarang, hantu pun dah upgrade naik Uber walaupun jarak 0.01km.

 

Sumber cerita :Penang Kini

 

AWEK BUS STOP

 

Waktu itu, aku sedang bercuti. Daripada aku buang masa dekat rumah, baik aku buat Uber. Aku pun online dan search kalau-kalau ada penumpang sekitar aku. Dari pagi hingga ke petang, kereta aku tak berhenti langsung! Ada saja penumpang. Macam-macam kerenah penumpang aku jumpa. Ada yang pendiam, ada yang tak reti nak diam asyik nak sembang. Tanpa aku sedari, lepas hantar seorang penumpang ni aku tengok jam dah pukul 7.00 malam!

 

Rasanya sempat lagi ambil seorang penumpang! Aku pun online tengok-tengok jika ada penumpang dekat-dekat area sini. Rezeki! Ada sorang penumpang. Dia tengah tunggu dekat bus stop depan. Jadi, aku pun geraklah ke situ. First impression aku, lawa sungguh awek ni! Masa tu, memang takde orang pun dekat bus stop tu. Aku pun bagilah signal menuju ke tempat tu. Dia pon masuk ke dalam kereta dengan selambanya.

 

“Awak nak pergi mana?” Aku tanya gadis tu.

“Awak jalan aje, nanti saya bagitahu”

Aku pun cakaplah dengan dia, kalau tak bagitahu di mana lokasi nak turun, aku takleh set harga untuk cas penumpang. Uber ni pun macam teksi juga, cuma apps ni yang bagi direction dan cas untuk sesuatu perjalanan. Tapi, dia tetap berkeras dengan jawapan dia. Takpelah, janji dapat duit.

 

Dipendekkan cerita, aku pun bawalah gadis ni berjalan. Dekat setengah jam juga kita orang tak sembang. Aku pun dah rase lain macam! Dia ni betul ke tak? Aku rasa dah agak jauh kami pergi.

 

“Awak nak ke mana sebenarnya? Kalau rasa tak tau nak pergi mana, elok saya hantar awak balik dekat bus stop tu” Aku pun dah naik bengang dengan awek ni. Habis minyak aku bawa dia pusing-pusing. Aku tengok, jam dah dekat pukul 8.00 malam.

 

Tba-tiba, aku rase macam terhidu sesuatu! Wangi sangat! Tadi tak adalah wangi macam ni. “Awak ikut lorong ni, nanti ada sebuah bus stop, saya turun kat situ.”

 

Aku pun bergeraklah seperti yang diarahkan. Customer is always right! Lorong tu agak gelap sedikit memandangkan lampu jalan pun berjarak-jarak, jadi aku tak nampak sangat kawasan dekat situ! Lain macam aku tengok tempat tu.

 

Akhirnya, aku sampai dekat bus stop seperti yang diminta oleh awek ni. Aku perhati kawasan sekeliling, biar betul awek ni tinggal dekat sini? Memang betul tempat ni kawasan perumahan, tapi belum siap sepenuhnya. Alahai, biar betul perempuan ni!

 

Awek tu kemudian memberikan aku RM50. “Eh, takde duit kecik ke, cik adik?” tanya aku. “Tak apa, yang lebih tu simpan.” Dia pun keluarlah dari kereta aku dan bergerak menuju ke bus stop itu. Serius perfume dia memang mengancam, nyaris-nyaris aku tergoda.

 

Sebelum gerak tu, aku tengoklah telefon aku ni. Ada mesej daripada Uber, aku pun tengok. “Passenger cancelled the request, 1 hour ago.”

Aku dah rasa lain macam! Aku tengok cermin belakang aku, awek tu masih duduk di bus stop. Hati aku dah tak tenteram masa tu. Tanpa membuang masa, aku pecut dari tempat tu! Entah kenapa, aku rasa pedal minyak ni aku tekan habis, tapi kenapa kereta aku masih tak gerak-gerak juga! Aku tengok lagi cermin belakang. Awek tu tadi dah lenyap dari situ! Sah, memang bukan manusi! Perasaan aku memang tak menentu masa tu. Aku tukar gear, tapi tak dapat-dapat! Aku terus cuba dan cuba!

 

Tiba-tiba awek tadi tercegat berdiri di sebelah kiri kereta aku! Tersenyum melihat aku dan apa yang lebih menyeramkan, dia ketawa kecil sambil memerhatikan aku dan terus mengilai! Jelas sungguh suara dia! Memang tak dapat dibayangkan pada ketika itu, sangat menyeramkan! Aku tekan pedal minyak tu lagi sekali dan kereta aku berjaya digerakkan!

 

Aku memecut dengan laju sambil memerhatikan cermin pandangan belakang. Tapi lembaga lenyap entah di mana. Badan aku terketar, jantung aku berdegup dengan kencang! Aku memang tak peduli masa tu, lubang ke, batu ke semua aku redah!

 

 

Aku demam selama seminggu selepas kejadian itu. Tiap-tiap malam aku mimpi benda yang sama. Dikejar oleh lembaga tu! Aku pun memang tak percaya benda ni akan terjadi pada aku. Duit yang lembaga tu bagi dengan aku pun bukan duit betul, daun kering! Bila aku fikirkan balik kejadian tu, memang menyeramkan! Aku sumpah, tak mahu lagi buat Uber waktu malam!

 

Sumber: Blog Encik Seram

 

 

PENUMPANG MISTERI

Suatu malam dekat area Puchong, aku baru lepas hantar seorang rider (penumpang), maka aku pun berehat sebentar dalam kereta. Oh, aku bawa kereta X-trail version baru, maka harga booking yang aku dapat pun lebih sedikit daripada harga kereta sedan biasa. Tengah aku ralit baca WhatsApp group dan update info location aku, tiba-tiba apps driver aku masuk request. Aku tak sempat nak klik button accept job, tapi terus masuk dalam apps aku untuk gerak ambil rider baru ni.

Aku terus drive ikut waze ke tempat mengambil penumpang ni. Aku lalu satu jalan dalam kawasan perumahan, tapi dah sampai hujung jalan dan hujung jalan taman ni ada tapak kubur. Aku dah tak sedap jiwa tengok waze bagitau dah dekat, tapi kena jalan terus dan aku baru perasan dah sampai kawasan kubur. Dekat pagar masuk kubur ni ada satu pondok dengan lampu yang cahaya suram romantik.

Aku tengok ada seorang perempuan di bawah cahaya pondok ni. Terus dia datang ke kereta aku dan dia duduk di belakang. Aku tanya dia ni nak ke mana, tapi suara dia halus dan hampir-hampir aku tak dengar. Kemudian, aku ikut laluan waze ke destinasi drop dia. Perjalanan jarak dalam 20km dan harga booking dekat RM40.

Sepanjang jalan memang aku perasan rider ni senyap dan banyak pandang luar tingkap. Disebabkan itu, aku malas nak tegur dan tanya lebih. Rupanya tempat yang dia nak drop ni pun masuk taman rumah dan hujung bukit tu aku memang yakin dah tak ada perumahan dan yang ada kubur. Tapi, aku husnuzon kan diri mungkin rumah dia paling hujung jalan ni. Bila aku tanya dia nak drop kan mana, tiba-tiba aku terbau wangi teramat dan serta-merta kereta aku berkabus macam cuaca sejuk oversea. Aku tergamam dalam lima minit. Bila aku toleh belakang, kereta aku kosong! Aku yakin, memang aku tak dengar bunyi orang buka pintu kereta untuk keluar. Rider ni book bayar tunai. Dan dia tak ada bagi aku duit untuk trip hantar dia.

Aku cuba cancel trip aku dari handphone, tapi tak dapat macam server problem dan tak ada button cancel job. Tu yang buat aku terkedu seorang dalam kereta. Tiba-tiba ada orang ketuk tingkap kereta aku. Aku terkejut gila. Aku turunkan tingkap dan aku nampak seorang pak cik bagi salam. Dia tanya aku, buat apa dekat lorong hujung ni? Aku terdiam tak mampu berkata. Pak cik ni pun jemput aku ke rumah dia nanti dia akan ceritakan bila dia tengok muka aku dah pucat macam kain telekung. Aku pun ikut pak cik ni sebab rumah dia di hujung jalan ni.

Aku masuk dalam rumah dia, isteri pak cik ni ke dapur untuk buat air minum untuk tetamu tak diundang macam aku ni. Pak cik ni start cerita, dah banyak orang sesat ke sini hantar benda tu. Aku pun pandang pelik tengok pak cik ni. Macam mana pulak dia tahu aku bawa benda ke situ? Dia cakap, bukan aku seorang pernah kena tumpang macam tu, tapi sebelum ni jin tu tumpang kereta dan naik motor. Tapi bukan naik GrabCar berbayar. Pak cik tu suruh aku minum air yang dibancuh isteri dia dan air tawar untuk pulihkan semangat aku. Dia suruh aku telefon famili aku untuk datang ambil aku sebab aku rasa lemah sangat nak drive balik rumah sorang.

Sumber: fiksyenshasha.com/submit.

 

Dalam NOVEL PROJEK SERAM GRAB, penulis mengambil idea daripada pengalaman-pengalaman pemandu Grab dan dijadikan dalam bentuk sebuah cerita. Plot ceritanya disusun dengan cantik sambil disulami elemen-elemen seram dan mengerikan.

Dalam novel projek seram ini ada tiga cerita yang berlainan. Cerita SERU dan JANUARI melibatkan penumpang misteri dan novelet HILANG melibatkan pemandu Grab itu sendiri yang bukan manusia sebenar. Penumpangnya semua hilang.

Jadi, jangan lupa dapatkan NOVEL PROJEK SERAM GRAB untuk sama-sama menghayati kisah yang dihadapi oleh penumpang mahupun pemandu Grab.


 

 

BUKU BERKAITAN
KALENDAR BUKU PRIMA