MEMILIH BUKU : PILIHAN ANAK-ANAK ATAU PILIHAN IBU BAPA?




MEMILIH BUKU : PILIHAN ANAK-ANAK ATAU PILIHAN IBU BAPA?

Sepatutnya anak-anak pilih buku sendiri atau ibu bapa yang pilih? Bagi Kak Min, kedua-duanya sama penting. Memilih buku ini umpama kita memilih baju. Kita bukan sahaja melihat harga tetapi kualiti, keselesaan dan pelbagai lagi. Begitu juga buku, mana satu yang menjadi keutamaan kita?

  1. Pilih buku dengan harga mahal tetapi isi kandungannya menarik dan kualitinya bagus.
  2. Pilih buku murah tetapi kualiti tidak menarik, isi kandungannya pula biasa-biasa sahaja.

Pastinya semua akan diambil kira, supaya kita membuat pilihan terbaik buat anak-anak.

Untuk memilih buku pada peringkat usia anak-anak 2 hingga 3 tahun, cadangan Kak Min tanya kepada anak-anak. Ini kerana pilihan mereka perlu diguna pakai juga.

Seawal usia begini target utama kita adalah untuk membiasakan mereka dengan buku. Selain itu, memberi dorongan dan keseronokkan kepada mereka mengenai dunia buku. Jika kita memberi pilihan kepada anak-anak, pasti anak-anak akan menjadi seronok dan gembira. Tetapi sebagai ibu bapa, perlu juga kita pantau isi kandungan sesebuah buku itu sama ada sesuai ataupun tidak.

 

            

Watak karakter mampu memupuk minat anak-anak terhadap buku.

 

Jika anak-anak sudah menginjak usia ke peringkat sekolah, sekali lagi pandangan anak-anak perlu diberi perhatian dalam pemilihan buku. Terutamanya bagi buku latihan mereka di rumah. Ini kerana, anak-anak lebih mengetahui subjek pelajaran yang ada di sekolah dan tahap kemampuan mereka.

Ada sesetengah anak-anak tahap penguasaan dalam pembelajaran lebih cepat, jadi mereka memerlukan buku yang tahapnya lebih tinggi. Jika anak-anak yang kurang sedikit penguasaannya, kita perlu memilih buku yang lebih rendah tahapnya. Supaya anak-anak ini tidak rasa terbeban dan memberontak untuk membuat latihan dan membaca buku.

Perasaan anak-anak perlu dititikberatkan supaya mereka merasakan pembelajaran bukanlah satu perkara yang membosankan.

Pilihlah buku bersama-sama anak-anak dan didiklah mereka mencintai buku dari kecil. Selamat mencuba!